Tuesday, June 9, 2009

Pizza

Ehsan foto: Arkansascca

Pizza telah dikaitkan sebagai sejenis makanan semenjak kurun ke 6 sebelum masihi lagi di mana sejenis roti leper yang dibakar bersama keju dan pelbagai bahan termasuk kurma, madu dan herba di zaman Empayar Parsi dan Rom, dan dalam kurun ke 16 di Eropah ditambah dengan tomato. Pizza yang kita kenali hari ini bermula awal kurun ke 20 dimana pelbagai bahan-bahan ditambah sebagai “topping” di samping keju, herba dan tomato.
(Sumber: Whatscookingamerica.net)

Kepelbagaian pizza bergantung kepada:
1, Bahan-bahan yang digunakan, ketebalan dan kerangupan rotinya
2. Kadar dan jenis keju yang digunakan
3. Bahan-bahan yang ditaburkan sebagai “topping”

Pelbagai nama yang diberikan kepada pelbagai jenis pizza:
1. New York Style pizza
2. Chicago Style Pizza
3. California Style Pizza
4. Greek pizza
5. Hawaian pizza
6. White pizza (pizza putih menggunakan bahan seperti krim masam bagi menggantikan tomato)
7. Thin crust
8. Sicilian thick crust
9. Whole wheatdough
10. Zucchini dough

Ehsan foto: Easypizza

Identiti sekeping pizza ditentukan utamanya daripada bahan-bahan yang digunakan untuk "topping". Antara pelbagai jenis bahan yang boleh digunakan adalah:

1. Sayur-sayuran seperti cili benggala (merah, hijau dan kuning), cendawan butang yang dihiris, nenas yang dihiris (tin atau segar), jagung, lobak merah dan buah zaitun

2. Makanan laut seperti ikan tuna, udang, tiram, ikan bilis dan sotong

3. Keju seperti mozzarella, parmesan, cheddar, blue cheese, brie, feta (keju dari susu kambing), dan ricota

4. Daging seperti ayam, lembu, bebola daging, pepperoni, salami dan sosej.



Cara-cara membuat pizza:
(Berdasarkan resepi dari Recipepizza.com)
Bahan-bahan untuk doh:
1 cawan air suam (jangan guna air panas)
3 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak zaitun (atau minyak masak)
2 sudu teh madu (atau gula)
1 sudu teh garam
1 sudu teh ragi (atau sepeket yis Mauripan)

Cara-cara membuatnya:
1. Campurkan air suam bersama yis dan madu (atau gula), dan biarkan selama beberapa minit hingga telah berbuih (frothy)

2. Gaulkan tepung gandum, garam, minyak zaitun (atau minyak masak) dan adunan yis yang telah berbuih tadi. Uli dengan tangan sehingga adunan sebati dan lembut. Jika terlalu liat tambahkan air sedikit sahaja.

3. Sapukan minyak ke dalam sebuah mangkuk besar dan masukkan adunan doh. Tutup dengan plastik atau kain dan biar sehingga sejam pada suhu bilik. Setelah sejam doh akan naik. Doh ini boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk digunakan kemudian, tetapi anda perlu biarkan beberapa jam supaya doh kembali kepada suhu bilik sebelum anda boleh mengulinya.

4.Sediakan permukaan untuk menguli dengan tepung gandum. Tumbuk doh tadi untuk membuangkan gelembung udara yang terperangkap hasil dari campuran yis tadi.
Anda boleh gunakan batang penggelek (rolling pin) tetapi pastikan ia dilumur tepung untuk mengelakkan doh melekat padanya.

5. Sapukan sos pizza (lihat resepi di bawah). Jika anda malas atau tiada masa untuk membuat sos pizza, anda boleh gantikan dengan campuran sos cili dan mayones.

6. Taburkan bahan-bahan topping mengikut citarasa anda seperti cili benggala, nenas, cendawan butang, sosej, salami, pepperoni, ikan tuna (dihancurkan), ayam (disiat-siat), bebola daging, udang atau sotong (dipotong gelang). Jika anda ingin menambah perisa pizza anda, anda boleh tambahkan dengan keju parmesan dan cheddar yag diparut. Akhir sekali taburkan keju mozzarella parut di atas pizza anda mengikut kadar yang anda suka. Pastikan topping anda tidak terlalu tebal kerana pizza anda akan memerlukan masa lebih lama untuk masak.

7. Bakar dalam oven dengan suhu 200 - 250° C (400 - 450° F) selama 20 hinggs 25 minit sehingga lapisan doh di tepi agak perang.


Ehsan foto: Recipepizza


Cara-cara membuat sos pizza:
Bahan-bahan:
2 sudu besar minyak zaitun (atau minyak masak)
1/4 cawan bawang besar yang dpotong kecil
1 sudu besar bawang putih dicincang lumat
3 biji tomato dibuang kulit dan dilenyek
i tin kecil pes tomato (lebih kurang 3 aun atau 80-100 gram)
2 1/2 sudu besar herba campuran daun basil dan oregano (atau diganti daun ketumbar)
1/2 sudu teh garam
1/4 sudu teh lada hitam
Minyak masak untuk menumis


Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar selama seminit.

2. Masukkan minyak zaitun (jika ada), bawang putih, buah tomato, pes tomato dan herba (daun basil & oregano atau daun ketumbar)

3. Tambahkan garam dan lada hitam secukup rasa.

4. Biarkan mendidih selama lebih kurang 5 minit (berhati-hati kerana sos agak panas dan mudah memercik)
5. Sos pizza anda telah siap. Anda boleh gunakan sos pizza anda terus atau disimpan di dalam bekas dan dimasukkan ke dalam peti sejuk, jika tidak digunakan terus.

Ehsan foto :898-8888



Pizza adalah sejenis masakan yang mudah disediakan dan fleksibel kerana dengan hanya mengubah bahan yang anda gunakan untuk 'topping", anda boleh mendapat pelbagai jenis hidangan dengan berbagai rasa yang lazat dan menyelerakan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment