Friday, May 29, 2009

Tapai

Tapai sememangnya sejenis makanan tradisional yang amat popular dan ramai penggemarnya. Terdapat dua jenis tapai yang popular iaitu tapai pulut dan tapai ubi, walaupun terdapat tapai-tapai lain contohnya tapai beras pulut hitam. Membungkus tapai juga ada pelbagai cara - ada yang menggunakan daun pisang dan daun getah, dan ada juga yang menggunakan daun keladi dan daun jambu laut. Tapai sedap dimakan begitu sahaja, tetapi cara moden termasuk menjadi bahan dalam minuman, makan bersama aiskrim , puding tapai, bingka tapai malah ada yang membuat tapai goreng.

Ada yang memperkatakan ke"halal"an tapai kerana ia mengandungi alkohol. Jika anda ingin penerangan lanjut dari ustaz anda boleh dapatkan di sini.
Terdapat banyak pantang larang orang zaman dahulu untuk memastikan hasil tapai benar-benar sedap dan manis. Antaranya adalah:
1. Jangan makan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah semasa membungkus tapai. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap.
2. Jangan buat tapai sekiranya seseorang wanita dalam keadaan uzur (datang haid)

3. Jangan makan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.

Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.


Tahukah anda cara membuat tapai.
Di sini ada beberapa resepi yang mudah untuk anda cuba untuk membuat tapai pulut dan tapai ubi.

TAPAI PULUT:


VERSI 1:

Sumber Saji Online

Versi ini agak kontroversi kerana tidak menggunakan kaedah biasa. Anda boleh tanya pendapat mereka yang pakar dalam bidang ini sebelum mencubanya.


BAHAN-BAHAN:
1 kg beras pulut

250 gm ragi

250 gm gula

Daun pisang


CARA MENYEDIAKAN:
1. Terlebih dahulu beras pulut perlu direndam selama lima jam.

2. Kemudian kukus sehingga tiga suku masak (selama 20 minit). Biarkan sehingga sejuk.

3. Ragi ditabur di atas pulut yang dikukus bersama gula. Gaul rata.

4. Kemudian bungkus de­ngan daun pisang. Peramkan selama beberapa hari.


VERSI 2:

BAHAN-BAHAN:
1 kg beras pulut

1/2 biji ragi- ditumbuk halus

Daun pisang, daun getah atau daun keladi (kalau tak ada bekas plastik pun boleh)


CARA MENYEDIAKAN:
1. Tanak pulut - sukatan pulut dan air mesti sama untuk mengelakkan pulut lembik. Contohnya jika 5 cawan pulut, gunakan 5 cawan air

2. Setelah pulut masak, masukkan pulut dalam dulang dan ratakan. Biarkan sejuk

3. Setelah sejuk, ayak ragi diserata permukaan pulut tadi dan terbalikkan pulut sehingga semua permukaan terkena ragi

4. Bungkus dengan daun pisang dan peram selama 2 hari



VERSI 3:
Sumber: Sajian Selera Malaysia


BAHAN-BAHAN:
1 kg beras pulut

1 biji ragi manis (dijemur)

Daun pisang atau getah atau jambu laut secukupnya


CARA MENYEDIAKAN:
1. Cuci beras pulut bersih-bersih kemudian ditanak sehingga masak. Setelah itu, angkat dan sejukkan di dalam sebuah talam yang bersih dan kering.

2. Hancurkan ragi sehingga halus. Kemudian taburkan pada pulut tadi.

3. Sarungkan tangan anda dengan plastik bersih. Kemudian balik-balikkan pulut dan gaul sehingga rata.

4. Sediakan sebuah pasu tanah kecil. Alas dalam pasu dengan daun pisang yang bersih. Setelah itu, masukkan pulut tadi dengan sehelai daun pisang. Tutup pasu dengan penutupnya, kemudian balutkan dengan kain kemas-kemas.

5. Biarkan selama 3 hari dan tapai pulut ini boleh dimakan.




TAPAI UBI


Versi 1:
Sumber: Sajian Selera Malaysia (dari Mesra.net)

BAHAN-BAHAN:
1½ kg ubi kayu

1 biji ragi

Daun pisang secukupnya


CARA MENBUATNYA:

1. Kupas kulit ubi kayu dan basuh hingga bersih. Potong ubi sederhana kecil kemudian rebuslah sehingga empuk. Setelah cukup empuk (tidak terlalu empuk), angkat dan toskan airnya. Kemudian sejukkan sebentar.

2. Sebelum ragi digunakan, jemur dulu untuk seketika. Kemudian hancurkan ragi dan tabur pada ubi yang telah sejuk hingga rata. Buat begini satu-satu hingga selesai.

3. Lapiskan sehelai daun pisang ke dalam sebiji pasu tanah atau belanga tanah. Kemudian aturkan ubi yang telah ditaburkan dengan ragi tadi. Tutup dengan sehelai daun pisang lagi. Kemudian tutupkan pula dengan penutup pasu. Bungkuskan pasu dengan kain kemas-kemas.

4. Setelah tiga hari, bolehlah dimakan atau disimpan di dalam peti sejuk unutk nikmati rasa yang lebih enak.



Versi 2:
Sumber: Rossyabakes

BAHAN-BAHAN:

1 kg ubi kayu yang telah dikupas dan di bersihkan

1 1/4 keping ragi yang berukuran sebesar duit syiling 50sen (dikisar dan diayak)

Beberapa helai daun pisang

Gula pasir secukupnya

CARA MEMBUATNYA:

1. Ubi yang telah dibersihkan direbus hingga separuh masak sahaja dan kemudian disejukkan.

2. Potong ubi anggaran 6cm panjang, kemudian sapukan ragi yang telah dihaluskan tadi. Taburkan gula secukupnya keatas ubi dan disusun kedalam sebuah bekas yang beralaskan daun pisang.

3. Susun sehingga habis dan tutup dengan daun pisang lagi lalu di tutup rapat bekas. Bungkus dengan sehelai kain putih atau plastik dan peraplah selama 3hari.

4. Apabila bau tapai sudah naik, ia akan mengeluarkan air dan ubi akan menjadi lembut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment