Wednesday, June 10, 2009

Donut

Donut adalah sejenis makanan yang popular di Barat dan semakin digemari di Malaysia dengan adanya franchise seperti Dunkin Donut dan Krispy Kreme.

Tahukah anda sejarah di sebalik doughnut atau donut ini?
Ada pendapat mengatakan bahawa doughnut atau donut ini berasal dari Belanda pada pertengahan kurun ke 19 dengan nama asal olykoek bermakna kek yang berminyak. Ada juga pendapat mengatakan makanan yang berbentuk gelang ini direka oleh orang Amerika bernama Hansen Gregory.
(Sumber: Wikipedia)






Tahukah anda ada berapa jenis donut di Amerika?
Menurut lc.k12.mn.us, terdapat 14 jenis donut yang terdapat di Amerika iaitu:
1. Raised Donuts
2. Bars & Twists
3. Cake Donuts
4. Devil's Food Donuts
5. Old Fashioned Buttermilk
6. Jelly Filled Donuts
7. Custard Filled Donuts
8. Peanut Butter Donuts
9. Cheese Donuts
10. Cinnamon Rolls
11. Pretzel Shaped Donuts
12. Assorted Gourmet Donuts
13. Donut Holes
14. Muffins

Pada kebiasaannya donut dihasilkan dengan menggoreng doh didalam minyak dan mengandungi kanndungan minyak yang tinggi. Sebagai variasi, terdapat donut yang dihasilkan dengan membakar di dalam oven, bagi mengurangkan kadar minyak yang digunakan.









Resepi Donut bakar
(Berdasarkan resepi dari breakfast-and-brunch-recipes.com)

Bahan-bahan:
1 cawan susu
3/4 cawan mentega
1/2 cawan gula
1 sudu teh garam
1 cawan kentang (dibuang kulit) direbus dan dilecek
1 peket kecil yis (boleh guna yis Mauripan)
1/4 cawan air suam
2 biji telur dipukul
4 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan mentega pada suhu bilik
Gula yang dikisar (untuk hiasan)


Cara-cara membuatnya:

1. Rebus kentang sehingga empuk, kupas kulit dan lecek

2. Masukkan gula dan yis ke dalam air suam dan kacau. Biarkan sehingga berbuih (frothy)

2. Panaskan susu dan alihkan dari api. Campurkan mentega dan garam, dan biarkan sejuk

3. Masukkan campuran susu, mentega dan garam yang telah sejuk tadi ke dalam mangkuk besar. Campurkan kentang yang telah dilecek, adunan yis dan telur yang telah dipukul. Gaul dan masukkan tepung gandum. Gaul adunan sehingga sebati

4. Tutup bekas dan biarkan doh naiki selama 10 minit.

5. Taburkan tepung ke atas permukaan dan leperkan doh dengan batang penggelek (rolling pin) yang dilumur tepung sehingga 1/2 inci tebal. Potong menggunakan acuan donut yang telah disapu mentega. Anda boleh juga menggunakan bekas bulat besar dan kecil untuk membentuk gelang donut di bahagian luar dan dalam seperti yang ditunjuk di dalam video berikut.





6. Susun doh yang telah dibentukkan donut di atas loyang yang disapu majerin atau mentega. Biarkan naik selama 5-10 minit lagi.

7. Bakar pada suhu 220 darjah celcius (425 darjah Fahrenheit)selama 20-30 minit atau sehingga masak.

8. Keluarkan dari oven dan sapu dengan mentega yang telah dilembutkan dan lumurkan dengan gula kisar.

Donut bakar sedap dimakan semasa masih panas dan kerana itu lebih mudah dinikmati jika dilumur dengan gula kisar.



Cara-cara membuat donut glaze - biasa dan coklat

Di samping menyalut dengan gula halus, anda juga boleh menghiaskan donut anda dengan donut glaze. Cara-caranya adalah seperti yang ditunjuk di dalam video berikut. Bahan-bahan yang digunakan adalah gula icing atau serbuk coklat (untuk glaze biasa dan coklat), minyak dan air panas. Donut kemudiannya dicelup di dalam glaze tersebut dan dibiarkan sehingga glaze mengeras.











Jika anda ingin mendapatkan glazing dengan pelbagai warna dan perisa menarik, anda boleh gunakan susu panas sebagai ganti air panas dan menggunakan pewarna dan perasa di dalam adunan untuk glazing biasa. Contohnya anda boleh gunakan pewarna merah jambu dan perisa strawberi untuk mendapatkan glazing merah jambu. Anda boleh juga salutkan glazing tadi dengan manik berwarna (hundred thousand), manik coklat (chocolate rice), kacang tumbuk atau kelapa kering (dessicated coconut) untuk hasil donut yang lebih menyelerakan.



Anda boleh juga memasukkan inti jem jika anda kehendaki. Anda boleh buat lubang untuk memasukkan inti, atau gunakan alat pemicit seperti ditunjukkan di dalam video berikut.







Membuat donut tidaklah sesusah mana dan dengan menggunakan resepi donut bakar anda boleh mengurangkan kadar penggunaan minyak untuk kehidupan yang lebih sihat.



Tuesday, June 9, 2009

Pizza

Ehsan foto: Arkansascca

Pizza telah dikaitkan sebagai sejenis makanan semenjak kurun ke 6 sebelum masihi lagi di mana sejenis roti leper yang dibakar bersama keju dan pelbagai bahan termasuk kurma, madu dan herba di zaman Empayar Parsi dan Rom, dan dalam kurun ke 16 di Eropah ditambah dengan tomato. Pizza yang kita kenali hari ini bermula awal kurun ke 20 dimana pelbagai bahan-bahan ditambah sebagai “topping” di samping keju, herba dan tomato.
(Sumber: Whatscookingamerica.net)

Kepelbagaian pizza bergantung kepada:
1, Bahan-bahan yang digunakan, ketebalan dan kerangupan rotinya
2. Kadar dan jenis keju yang digunakan
3. Bahan-bahan yang ditaburkan sebagai “topping”

Pelbagai nama yang diberikan kepada pelbagai jenis pizza:
1. New York Style pizza
2. Chicago Style Pizza
3. California Style Pizza
4. Greek pizza
5. Hawaian pizza
6. White pizza (pizza putih menggunakan bahan seperti krim masam bagi menggantikan tomato)
7. Thin crust
8. Sicilian thick crust
9. Whole wheatdough
10. Zucchini dough

Ehsan foto: Easypizza

Identiti sekeping pizza ditentukan utamanya daripada bahan-bahan yang digunakan untuk "topping". Antara pelbagai jenis bahan yang boleh digunakan adalah:

1. Sayur-sayuran seperti cili benggala (merah, hijau dan kuning), cendawan butang yang dihiris, nenas yang dihiris (tin atau segar), jagung, lobak merah dan buah zaitun

2. Makanan laut seperti ikan tuna, udang, tiram, ikan bilis dan sotong

3. Keju seperti mozzarella, parmesan, cheddar, blue cheese, brie, feta (keju dari susu kambing), dan ricota

4. Daging seperti ayam, lembu, bebola daging, pepperoni, salami dan sosej.



Cara-cara membuat pizza:
(Berdasarkan resepi dari Recipepizza.com)
Bahan-bahan untuk doh:
1 cawan air suam (jangan guna air panas)
3 1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar minyak zaitun (atau minyak masak)
2 sudu teh madu (atau gula)
1 sudu teh garam
1 sudu teh ragi (atau sepeket yis Mauripan)

Cara-cara membuatnya:
1. Campurkan air suam bersama yis dan madu (atau gula), dan biarkan selama beberapa minit hingga telah berbuih (frothy)

2. Gaulkan tepung gandum, garam, minyak zaitun (atau minyak masak) dan adunan yis yang telah berbuih tadi. Uli dengan tangan sehingga adunan sebati dan lembut. Jika terlalu liat tambahkan air sedikit sahaja.

3. Sapukan minyak ke dalam sebuah mangkuk besar dan masukkan adunan doh. Tutup dengan plastik atau kain dan biar sehingga sejam pada suhu bilik. Setelah sejam doh akan naik. Doh ini boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk digunakan kemudian, tetapi anda perlu biarkan beberapa jam supaya doh kembali kepada suhu bilik sebelum anda boleh mengulinya.

4.Sediakan permukaan untuk menguli dengan tepung gandum. Tumbuk doh tadi untuk membuangkan gelembung udara yang terperangkap hasil dari campuran yis tadi.
Anda boleh gunakan batang penggelek (rolling pin) tetapi pastikan ia dilumur tepung untuk mengelakkan doh melekat padanya.

5. Sapukan sos pizza (lihat resepi di bawah). Jika anda malas atau tiada masa untuk membuat sos pizza, anda boleh gantikan dengan campuran sos cili dan mayones.

6. Taburkan bahan-bahan topping mengikut citarasa anda seperti cili benggala, nenas, cendawan butang, sosej, salami, pepperoni, ikan tuna (dihancurkan), ayam (disiat-siat), bebola daging, udang atau sotong (dipotong gelang). Jika anda ingin menambah perisa pizza anda, anda boleh tambahkan dengan keju parmesan dan cheddar yag diparut. Akhir sekali taburkan keju mozzarella parut di atas pizza anda mengikut kadar yang anda suka. Pastikan topping anda tidak terlalu tebal kerana pizza anda akan memerlukan masa lebih lama untuk masak.

7. Bakar dalam oven dengan suhu 200 - 250° C (400 - 450° F) selama 20 hinggs 25 minit sehingga lapisan doh di tepi agak perang.


Ehsan foto: Recipepizza


Cara-cara membuat sos pizza:
Bahan-bahan:
2 sudu besar minyak zaitun (atau minyak masak)
1/4 cawan bawang besar yang dpotong kecil
1 sudu besar bawang putih dicincang lumat
3 biji tomato dibuang kulit dan dilenyek
i tin kecil pes tomato (lebih kurang 3 aun atau 80-100 gram)
2 1/2 sudu besar herba campuran daun basil dan oregano (atau diganti daun ketumbar)
1/2 sudu teh garam
1/4 sudu teh lada hitam
Minyak masak untuk menumis


Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar selama seminit.

2. Masukkan minyak zaitun (jika ada), bawang putih, buah tomato, pes tomato dan herba (daun basil & oregano atau daun ketumbar)

3. Tambahkan garam dan lada hitam secukup rasa.

4. Biarkan mendidih selama lebih kurang 5 minit (berhati-hati kerana sos agak panas dan mudah memercik)
5. Sos pizza anda telah siap. Anda boleh gunakan sos pizza anda terus atau disimpan di dalam bekas dan dimasukkan ke dalam peti sejuk, jika tidak digunakan terus.

Ehsan foto :898-8888



Pizza adalah sejenis masakan yang mudah disediakan dan fleksibel kerana dengan hanya mengubah bahan yang anda gunakan untuk 'topping", anda boleh mendapat pelbagai jenis hidangan dengan berbagai rasa yang lazat dan menyelerakan.

Friday, May 29, 2009

Tapai

Tapai sememangnya sejenis makanan tradisional yang amat popular dan ramai penggemarnya. Terdapat dua jenis tapai yang popular iaitu tapai pulut dan tapai ubi, walaupun terdapat tapai-tapai lain contohnya tapai beras pulut hitam. Membungkus tapai juga ada pelbagai cara - ada yang menggunakan daun pisang dan daun getah, dan ada juga yang menggunakan daun keladi dan daun jambu laut. Tapai sedap dimakan begitu sahaja, tetapi cara moden termasuk menjadi bahan dalam minuman, makan bersama aiskrim , puding tapai, bingka tapai malah ada yang membuat tapai goreng.

Ada yang memperkatakan ke"halal"an tapai kerana ia mengandungi alkohol. Jika anda ingin penerangan lanjut dari ustaz anda boleh dapatkan di sini.
Terdapat banyak pantang larang orang zaman dahulu untuk memastikan hasil tapai benar-benar sedap dan manis. Antaranya adalah:
1. Jangan makan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah semasa membungkus tapai. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap.
2. Jangan buat tapai sekiranya seseorang wanita dalam keadaan uzur (datang haid)

3. Jangan makan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.

Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.


Tahukah anda cara membuat tapai.
Di sini ada beberapa resepi yang mudah untuk anda cuba untuk membuat tapai pulut dan tapai ubi.

TAPAI PULUT:


VERSI 1:

Sumber Saji Online

Versi ini agak kontroversi kerana tidak menggunakan kaedah biasa. Anda boleh tanya pendapat mereka yang pakar dalam bidang ini sebelum mencubanya.


BAHAN-BAHAN:
1 kg beras pulut

250 gm ragi

250 gm gula

Daun pisang


CARA MENYEDIAKAN:
1. Terlebih dahulu beras pulut perlu direndam selama lima jam.

2. Kemudian kukus sehingga tiga suku masak (selama 20 minit). Biarkan sehingga sejuk.

3. Ragi ditabur di atas pulut yang dikukus bersama gula. Gaul rata.

4. Kemudian bungkus de­ngan daun pisang. Peramkan selama beberapa hari.


VERSI 2:

BAHAN-BAHAN:
1 kg beras pulut

1/2 biji ragi- ditumbuk halus

Daun pisang, daun getah atau daun keladi (kalau tak ada bekas plastik pun boleh)


CARA MENYEDIAKAN:
1. Tanak pulut - sukatan pulut dan air mesti sama untuk mengelakkan pulut lembik. Contohnya jika 5 cawan pulut, gunakan 5 cawan air

2. Setelah pulut masak, masukkan pulut dalam dulang dan ratakan. Biarkan sejuk

3. Setelah sejuk, ayak ragi diserata permukaan pulut tadi dan terbalikkan pulut sehingga semua permukaan terkena ragi

4. Bungkus dengan daun pisang dan peram selama 2 hari



VERSI 3:
Sumber: Sajian Selera Malaysia


BAHAN-BAHAN:
1 kg beras pulut

1 biji ragi manis (dijemur)

Daun pisang atau getah atau jambu laut secukupnya


CARA MENYEDIAKAN:
1. Cuci beras pulut bersih-bersih kemudian ditanak sehingga masak. Setelah itu, angkat dan sejukkan di dalam sebuah talam yang bersih dan kering.

2. Hancurkan ragi sehingga halus. Kemudian taburkan pada pulut tadi.

3. Sarungkan tangan anda dengan plastik bersih. Kemudian balik-balikkan pulut dan gaul sehingga rata.

4. Sediakan sebuah pasu tanah kecil. Alas dalam pasu dengan daun pisang yang bersih. Setelah itu, masukkan pulut tadi dengan sehelai daun pisang. Tutup pasu dengan penutupnya, kemudian balutkan dengan kain kemas-kemas.

5. Biarkan selama 3 hari dan tapai pulut ini boleh dimakan.




TAPAI UBI


Versi 1:
Sumber: Sajian Selera Malaysia (dari Mesra.net)

BAHAN-BAHAN:
1½ kg ubi kayu

1 biji ragi

Daun pisang secukupnya


CARA MENBUATNYA:

1. Kupas kulit ubi kayu dan basuh hingga bersih. Potong ubi sederhana kecil kemudian rebuslah sehingga empuk. Setelah cukup empuk (tidak terlalu empuk), angkat dan toskan airnya. Kemudian sejukkan sebentar.

2. Sebelum ragi digunakan, jemur dulu untuk seketika. Kemudian hancurkan ragi dan tabur pada ubi yang telah sejuk hingga rata. Buat begini satu-satu hingga selesai.

3. Lapiskan sehelai daun pisang ke dalam sebiji pasu tanah atau belanga tanah. Kemudian aturkan ubi yang telah ditaburkan dengan ragi tadi. Tutup dengan sehelai daun pisang lagi. Kemudian tutupkan pula dengan penutup pasu. Bungkuskan pasu dengan kain kemas-kemas.

4. Setelah tiga hari, bolehlah dimakan atau disimpan di dalam peti sejuk unutk nikmati rasa yang lebih enak.



Versi 2:
Sumber: Rossyabakes

BAHAN-BAHAN:

1 kg ubi kayu yang telah dikupas dan di bersihkan

1 1/4 keping ragi yang berukuran sebesar duit syiling 50sen (dikisar dan diayak)

Beberapa helai daun pisang

Gula pasir secukupnya

CARA MEMBUATNYA:

1. Ubi yang telah dibersihkan direbus hingga separuh masak sahaja dan kemudian disejukkan.

2. Potong ubi anggaran 6cm panjang, kemudian sapukan ragi yang telah dihaluskan tadi. Taburkan gula secukupnya keatas ubi dan disusun kedalam sebuah bekas yang beralaskan daun pisang.

3. Susun sehingga habis dan tutup dengan daun pisang lagi lalu di tutup rapat bekas. Bungkus dengan sehelai kain putih atau plastik dan peraplah selama 3hari.

4. Apabila bau tapai sudah naik, ia akan mengeluarkan air dan ubi akan menjadi lembut.

Cendawan Tiram Goreng


Anda mungkin sering membeli cendawan tiram goreng di pasar malam atau di tepi jalan untuk hidangan waktu petang.
Tahukah anda cara membuatnya sendiri?
Berikut adalah resepi untuk anda.


BAHAN-BAHAN:

500 gm cendawan tiram

1 sudu kecil lada hitam (kisar)

1 sudu kecil serbuk lada sulah

4 biji telur

Garam secukup rasa


CARA MENYEDIAKAN:

1. Telur dipukul dan dicampurkan de-ngan lada sulah, lada hitam dan garam secukup rasa.

2. Kemudian celupkan cendawan dan goreng sehingga masak.


SUMBER: SAJI ONLINE

Wednesday, May 20, 2009

strawberi bersalut coklat

Ehsan Foto: Redenvelope.com


Beberapa tip sebelum memulakan resipi:

- Pastikan strawberi benar-benar kering sebelum dicelup dalam coklat kerana setitik air akan merosakkan coklat cair tersebut.

- Biarkan bahagian tangkai dan pangkal hijaunya untuk kelihatan lebih menarik

- Beli strawberi paling lama sehari sebelum dicelup untuk mengekalkan kesegarannya. Simpan strawberi di dalam peti sejuk dan biarkan sebentar dalam suhu bilik sebelum dicelup

- Makan dalam masa 2 hari, tidak lebih dari itu

- Di samping strawberi, buah-buahan dengan lapisan luar yang kering juga boleh digunakan seperti ulas limau (dengan lapisan luar), epal (dihiris atau sebiji penuh) dan pisang (dipotong dengan hirisan panjang). Jika menggunakan epal, celupkan dalam kacang panggang yang diracik halus dengan segera selepas dicelup dalam coklat

- Coklat putih juga boleh digunakan, sama ada sebagai ganti coklat biasa atau dengan berselang-seli, tetapi pastikan lapisan pertama telah mengeras sebelum dicelup sekali lagi atau pun dicalit berbelang-belang

- Jika coklat cair terlalu pekat, masukkan beberapa titik minyak masak (jangan guna mentega atau majerin kerana ia mengandungi air)


Beberapa teknik untuk mencairkan coklat:

1. Gunakan teknik "double boiler" iaitu dengan dua lapisan periuk. Periuk besar diletak diatas api dengan air setinggi 1-2 inci dan dialihkan dari api setelah mendidih. Periuk kecil dilapkan kering permukaan dalamnya bagi memastikan ianya benar-benar kering) lalu diisi coklat dan direndam ke dalam periuk besar. Kacau dengan berhati-hati supaya air atau wap tidak masuk daIam coklat dan merosakkannya.

2. Cairkan coklat di dalam oven dengan memasukkan kepingan coklat yang di potong-potong ke dalam loyang atau bekas tahan panas dengan suhu 110 darjah Fahrenheit (atau 40 darjah celcius), atauput set oven anda pada suhu terendah dan biarkan pintunya terbuka sedikit. coklat akan cair dalam masa sejam.

3. Anda boleh gunakan oven mikrowave tetapi anda perlu periksa setiap 10-15 saat dan kacaukan kerana coklat akan kekal dalam rupa asal (keras) walaupun ia telah cair dalam oven mikrowave. Setelah 85% telah cair, keluarkan dan kacau hingga semua coklat telah cair. Jika anda gunakan coklat putih, anda perlu lebih berhati-hati kerana ia cepat cair dan kalau tidak dikacau segera ia akan berbiji-biji.



Bahan-bahan yang diperlukan:
- 18 biji strawberi yang besar dan segar (basuh dan tekap hingga kering) dibiarkan dengan tangkai dan kelopak hijau
- 1 pound (1/2 kilogram) coklat keping yang dipotong kasar atau cip coklat (putih atau biasa)
- pencungkil gigi atau lidi kecil
- Keping gabus putih (styrofom)


Cara membuatnya:
1. Alas dulang atau loyang dengan kertas foil atau silikon. Jika ada keping styrofoam, letakkan ditengah dulang dan alaskan kertas foil/silikon di atas styrofoam tadi

2. Cucukkan lidi ke tangkai strawberi dan celupkan 3/4 bahagian strawberi ke dalam coklat cair, toskan lebihan coklat

3. Letakkan di atas kertas, atau cucuk lidi atas stryrofom (agar celupan coklat nampak kemas dan rata)

4. Setelah lapisan pertama keras, anda boleh celup lagi untuk lapisan kedua agar lebih tebal atau untuk mendapat efek lapisan hitam dan putih

5. Setelah lapisan coklat keras, anda boleh calitkan untuk mendapat efek berbelang-belang

6. Setelah coklat keras, buangkan lidi. Anda boleh letakkan dalam peti sejuk supaya coklat lebih keras atau jika cuaca agak panas




Sumber: Baking911